Umrah 2017 - Direzekikan Menadah Ilmu di Masjid Nabawi
Antara hal yang paling aku ingat semasa umrah bulan lalu adalah peluang aku untuk ikuti kelas Al-Quran di Masjid Nabawi.
Pagi tu selepas melawat Raudah, aku masuk semula ke masjid dengan niat nak berehat. Aku nak tidur sebenarnya. Badan aku dah penat sangat sebab sejak sampai di lapangan terbang Madinah awal pagi tu, aku masih belum dapat tidur. 8 jam dalam kapal terbang tu pun, aku gagal lelapkan mata.
Semasa aku berjalan mencari saf yang sesuai (aku cari kawasan yang agak gelap, sedap sikit nak tidur), aku terpandang sekumpulan lelaki duduk dalam bulatan bersama Al-Quran setiap seorang. Semua yang di dalam bulatan tengah mengadap ke seorang pak syeikh/ustaz yang berjubah putih siap serban macam kita biasa tengok pak arab pakai tu.
Tiba-tiba, entah macam mana mata aku dengan mata pak syeikh /ustaz tu boleh bertembung. Spontan je dia angkat tangan, jemput aku duduk sekali. Lembut je tangan dia mengajak.
Dan aku pun elok je mendekat, terus duduk dalam bulatan tu. Entah magnet apa dia pakai. Aku jarang nak join benda-benda macam ni. Pemalu gitu.
Masa ni lah aku baru perasan, dalam bulatan tu macam-macam orang ada. Cina ada, Indonesia ada, Turki ada, India ada, Pakistan ada dan dari negara lain yang aku tak ingat/cam.
Yang duduk sebelah aku masa tu, muka Pakistan tapi rupanya orang Malaysia. Nasib baik aku nampak beg agensi.
Masa aku join tu, diorang tengah ulang kaji surah Al-Fatihah.
Pak syeikh tu dengar bacaan seorang demi seorang dan tegur jika ada kesilapan pada sebutan. Dia akan betulkan dan kita akan ulang sampai dia puas hati dengan sebutan kita.
Kalau betul bacaan kita, dia akan sebut, "MasyaAllah!"
Dia siap kata lagi, "No MasyaAllah, no good."
Jadi kalau kita baca dan dia sebut MasyaAllah, bolehlah berpuas hati. Kalau dia diam je time kita baca maknanya bacaan sekadar memuaskan je la kot.
Kalau dia tegur dan nak kita ulang sampai betul, dia akan kata, "Again!"
Aku sendiri ada ditegur beberapa sebutan masa tu. MasyaAllah pun banyak juga dapat. Eh.
Jangan risau tentang batas/halangan bahasa sebab pak syeikh ni akan guna bahasa mudah je untuk bagi kita faham. Dia juga ada bawa alat bantuan mengajar macam que card dan kad yang ada huruf jawi tu.
Bahasa Inggeris yang dia guna sebagai perantara pun bukan yang tinggi-tinggi. Aku rasa dia pun tak reti sangat bahasa Inggeris ni sebab masa aku cuba nak bersembang dengan dia, dia tak faham.
Setelah habis ulang kaji surah Al-Fatihah, kami beralih ke ayat lazim pula. Bukan semua surah. Tapi segelintir yang kita mungkin selalu baca dalam solat seperti surah Al-Ikhlas dan An-Nass.
Bila azan berkumandang, maka kelas pun tamat macam tu je. Pak syeikh tu macam buat pengumuman kelas tamat dan terus buat hal sendiri. Anak murid yang ramai-ramai tadi terus angkat kaki.
Kelas-kelas Al-Quran ni dibuat di merata tempat di dalam masjid dan dikendali oleh pak syeikh atau ustaz-ustaz secara percuma untuk jemaah-jemaah yang hadir. Siap ada papan tanda lagi, 'Free Quran Class for Jamaah.'
Jadi di Masjid Nabawi, kau akan dapat lihat banyak 'bulatan-bulatan gembira' di serata masjid semasa waktu lapang antara waktu solat.
Pengalaman ni, aku anggap sebagai antara pengalaman paling manis dalam banyak-banyak kenangan aku semasa umrah.
Yelah. Aku masuk masjid niat nak rehat. Nak tidur. Badan tengah penat yang amat selepas berjam berasak-asak di Raudah. Tapi, alih-alih pergi join kelas Al-Quran ni.
Sejujurnya, masa kelas tu, hilang segala rasa penat.
Rasa gembira je. Rasa bahagia. Rasa Allah sayang.
Allah bagi peluang untuk perbaiki diri (solat) dengan rezekikan aku join kelas Al-Quran tu.
Dan memang aku ada berdoa pun sebelum tu di Raudah, aku nak baiki kualiti solat aku. Aku mohon agar Allah bantu.
Nah, terus Allah bukakan jalan.
Terharu.
Kawan-kawan yang ada rezeki nak tunaikan umrah nanti, ambillah peluang untuk join kelas/bulatan yang mengajar Al-Quran ni.
Kurang-kurang, dapatlah kita merasa suasana macam di zaman Rasulallah dahulu. Sebagaimana sahabat duduk bersama Nabi, menadah ilmu.
Hasnul Adin
Terus Merindui Madinah
Terus Merindui Madinah
Nota: Gambar diatas tu aku ambil betul-betul sebelum aku dijemput duduk sekali menadah ilmu.
Tags:
Umrah
0 comments
Komen anda adalah di hargai :D