Semesra Rasa

7:33 PM Hasnul Adin 0 Comments

500 gram daging kisar dimasukkan ke dalam mangkuk. Dibiarkan di situ sementara menanti kunjungan rakan-rakan sebatian yang lain.

 Aku menjengah ke dalam peti sejuk, mencari teman-teman hijau dan warna-warni. Cili hijau dan bawang merah. Mana dia? Ah. Itu dia teman yang di cari. Cili benggala merah, kuning dan hijau, Penyeri kumpulan kecil ini.

Masih ada yang kurang. Apa dia? Berkerut dahi memikirkannya. Bawang putih.  Betul. Itulah dia, pelengkapnya. Teman-teman hijau dan berwarna-warni itu kini bersama akhirnya. Dengan mesranya aku satukan mereka di dalam mangkuk setelah di mandikan. Kini mereka menanti giliran untuk dibaringkan di atas papan pemotong. Nasib mereka semua sama sahaja nanti. Akan berhadapan dengan tajamnya pisau menghiris diri. Berkilau pisau itu disimbah cahaya lampu.

Cili hijau ku capai dan semadikan di atas papan pemotong. Perlahan ku biarkan pisau membelah badan. Nasib kau lah cili, terimalah suratan takdir!

Selesai cili, nasib yang sama menanti teman-teman penyeri yang lain. Bawang merah ku hiris nipis. Cili benggala ku potong dadu. Bawang putih, ini istimewa. Yang satu ini harus aku pastikan ianya betul-betul halus untuk dapatkan tindak balas maksimum. Yang satu ini, perlu aku gunakan alatan khas.

Selesai. Fasa pertama aku rasakan sempurna. Beralih ke fasa seterusnya. Persefahaman antara mereka. Daging nan semangkuk tadi ku rapatkan. Nafas ku hela. Inilah masanya. Teman penyeri yang sudah ku selesaikan sebentar tadi ku satukan di dalam mangkuk daging kisar tadi.

Gaulkan sebati? Belum lagi. Ada yang masih belum menghadirkan diri. Garam, gula dan lada. Inilah yang terakhir. Secubit yang masin, secubit yang manis dan sepuas hati untuk si lada. Aku penggemar lada.

Setelah semua bersatu dalam mangkuk itu, tibalah masanya untuk digaulkan sebati. Pastikan daging dan teman-teman penyeri dan tetamu terakhir tadi ngam. Ngam dari segi rasa dan warna. Mencari sempurna.

Puas ku gaul mereka. Penat. Tapi melihat mereka bersatu mesra, tidak mengapa. Berbaloi.
Langkah seterusnya bermula. Ku ambil sedikit daging kisar yang sudah bersatu mesra tadi dan ku uli biar jadi bebola sebesar penumbuk. Biar padu. Kata hatiku. Sekepal kasih mesra. Sedap juga namanya.


Beberapa kepal bebola daging yang terhasil, aku susunkan di atas dulang sebelum ke dalam peti sejuk mereka ku simpan. Biarlah mereka kesejukan dan mendingin sementara rasa dan perisa mereka bersatu semuanya.

-Hanya masa menentukan langkah seterusnya-

**************


You Might Also Like

0 comments:

Komen anda adalah di hargai :D

Powered by Blogger.