Semesra Rasa
500 gram daging kisar dimasukkan ke
dalam mangkuk. Dibiarkan di situ sementara menanti kunjungan rakan-rakan
sebatian yang lain.
Aku menjengah ke dalam peti sejuk, mencari
teman-teman hijau dan warna-warni. Cili hijau dan bawang merah. Mana dia? Ah.
Itu dia teman yang di cari. Cili benggala merah, kuning dan hijau, Penyeri
kumpulan kecil ini.
Masih ada yang kurang. Apa dia?
Berkerut dahi memikirkannya. Bawang putih.
Betul. Itulah dia, pelengkapnya. Teman-teman hijau dan berwarna-warni
itu kini bersama akhirnya. Dengan mesranya aku satukan mereka di dalam mangkuk
setelah di mandikan. Kini mereka menanti giliran untuk dibaringkan di atas
papan pemotong. Nasib mereka semua sama sahaja nanti. Akan berhadapan dengan
tajamnya pisau menghiris diri. Berkilau pisau itu disimbah cahaya lampu.
Cili hijau ku capai dan semadikan
di atas papan pemotong. Perlahan ku biarkan pisau membelah badan. Nasib kau lah
cili, terimalah suratan takdir!
Selesai cili, nasib yang sama
menanti teman-teman penyeri yang lain. Bawang merah ku hiris nipis. Cili
benggala ku potong dadu. Bawang putih, ini istimewa. Yang satu ini harus aku
pastikan ianya betul-betul halus untuk dapatkan tindak balas maksimum. Yang
satu ini, perlu aku gunakan alatan khas.
Selesai. Fasa pertama aku rasakan
sempurna. Beralih ke fasa seterusnya. Persefahaman antara mereka. Daging nan
semangkuk tadi ku rapatkan. Nafas ku hela. Inilah masanya. Teman penyeri yang sudah
ku selesaikan sebentar tadi ku satukan di dalam mangkuk daging kisar tadi.
Gaulkan sebati? Belum lagi. Ada
yang masih belum menghadirkan diri. Garam, gula dan lada. Inilah yang terakhir.
Secubit yang masin, secubit yang manis dan sepuas hati untuk si lada. Aku
penggemar lada.
Setelah semua bersatu dalam mangkuk
itu, tibalah masanya untuk digaulkan sebati. Pastikan daging dan teman-teman
penyeri dan tetamu terakhir tadi ngam. Ngam dari segi rasa dan warna. Mencari
sempurna.
Puas ku gaul mereka. Penat. Tapi
melihat mereka bersatu mesra, tidak mengapa. Berbaloi.
Langkah seterusnya bermula. Ku
ambil sedikit daging kisar yang sudah bersatu mesra tadi dan ku uli biar jadi
bebola sebesar penumbuk. Biar padu. Kata hatiku. Sekepal kasih mesra. Sedap
juga namanya.
Beberapa kepal bebola daging yang
terhasil, aku susunkan di atas dulang sebelum ke dalam peti sejuk mereka ku
simpan. Biarlah mereka kesejukan dan mendingin sementara rasa dan perisa mereka
bersatu semuanya.
-Hanya masa menentukan langkah seterusnya-
**************
Tags:
Idea Cerita
0 comments
Komen anda adalah di hargai :D