Bayaran Kehidupan

Matahari semakin hilang dari pandangan. Langit kian gelap dan bulan sudah mula menunjukkan dirinya. Burung-burung terbang di udara mencari jalan pulang. Entah kemana hala tuju mereka. Bukannya ada pohon untuk mereka berteduh kala ini. Semuanya sudah ditebang dan ditumbangkan untuk meluaskan kawasan perindustrian. Untuk kemajuan ekonomi Negara, ianya perlu. Itulah yang dikatakan oleh pimpinan. Demi helaian kertas yang berlainan nilai, apa sahaja mampu jika perlu.

Jack, seorang anak melayu sedang berjalan kaki pulang ke rumah. Setelah seharian berkeliaran di kota hari ini, dia sekali lagi pulang membawa seribu kehampaan. Sudah beberapa bulan dia mencari kerja di kota namun tiada rezekinya. Bahkan kerja tukang basuh pinggan pun tiada kekosongan kala ini. Apalah nasib. Umur sudah melebihi pertengahan dua puluhan tapi masih mengharapkan bantuan bank PAMA. Bank Papa dan Mama. Inilah nasib anak muda sepertinya. Sudahlah ayahnya hanya seorang peniaga jalanan. Ibunya pula mengambil upah mengasuh anak-anak jiran. Dahulu ayahnya kerja di pejabat, tapi diberhentikan atas sebab-sebab tertentu.

 Bukannya Jack tiada kelulusan dan ijazah. Dia dahulu antara pelajar terbaik universitinya. Dengan anugerah yang diterimanya, dia menganggap peluang kerja untuk dirinya pasti cerah. Namun langit mendung tiada henti. Sejak permohonan kerjanya yang pertama dia sudah ditolak. Dia direject. Entah apa silapnya dia pun tidak tahu. Puas dia berulang-alik ke firma-firma ke pejabat-pejabat, tapi masih tiada rezeki buat dirinya. Setelah beberapa lama, akhirnya tersingkap jua rahsianya. Nama Jack sudah lama di senarai hitamkan oleh kebanyakan firma-firma dan pejabat-pejabat. Baik yang am ataupun swasta. Semuanya gara-garanya keluarganya pernah turut serta dalam usaha membantah hasrat kerajaan untuk menaikkan kos sara hidup rakyat. Katanya demi masa depan ekonomi negara yang lebih mapan, kenaikan ini suatu keperluan. Hanya kerana mereka not on the same page as them, nama Jack kini disenarai hitam. Maka sejak itulah dia putus asa untuk ke pejabat dan firma dan mula mencari peluang kerja di jalanan. Kerja jalanan pula tiada jaminannya, sekejap timbul sekejap tenggelam.

Jack menaiki lif untuk ke apartmennya di tingkat 15. Anak muda sepertinya, harapan untuk tinggal di rumah atas tanah tipis sekali. Maka yang murah dan tinggi menjadi pilihan. Sampai sahaja ke tingkat 15 Jack mengeluarkan kunci rumahnya. Boleh pula dia terlepas kunci itu jatuh ke atas lantai. Elok sahaja dia mahu mengutip kunci tersebut, dia terperasan ada sekumpulan 3 orang lelaki di hadapan apartmennya. 3 orang lelaki itu menghampiri Jack. Semuanya bermisai tebal.

“Kamu Jamani Haris Bin Daniel Ali Hamzah, atau Jack?” tanya salah seorang daripada kumpulan lelaki tersebut.

Dengar sahaja soalan yang keluar daripada mulut lelaki tadi, Jack pusing ke belakang dan terus melarikan diri. Dia berlari mendapatkan lif dan terus menekan butang untuk membuka pintu lif itu. Nasibnya tidak baik hari ini, belum sempat pintu lif terbuka, kumpulan lelaki itu sudah berjaya menangkap dia.

“Kenapa kamu lari?”

“Entah. Aku tak tahu.”

“Kamu Jamani Haris Bin Daniel Ali Hamzah, bukan? Atau dikenali sebagai Jack?”

“Ye.”

“Kamu ditahan kerana gagal menyempurnakan pembayaran bil-bil kos kehidupan. Sudah beberapa bulan kamu tidak menjelaskan pembayaran. Oleh sebab itu kamu ditahan. Ikut kami ke Pit.”

“Apartmen kamu akan ditutup serta merta dan dibuka untuk penyewa yang baru jika kamu gagal membayar bil-bil kos kehidupan dalam tempoh 3 hari dari hari ini.”

“Hah?”

“Ikut kami ke Pit.”

Pit adalah seperti balai polis tetapi bukannya balai polis. Ia dibangunkan untuk menempatkan golongan-golongan yang gagal membayar bil-bil kos kehidupan. Disini mereka akan ditahan dan di soal siasat. Mereka boleh keluar setelah berjaya membayar semua bil-bil mereka. Kalau tidak berjaya, maka ada sesuatu yang menanti mereka.

“Saya nak telefon kampung saya!” jerit Jack. Dia tidak takut untuk bermalam di Pit. Dia cuma mahu menelefon ayahnya untuk meminta bantuan. Sekarang ini, hanya keluarganya di kampunglah yang boleh keluarkan dia daripada Pit.

“Kamu ada 5 minit sahaja.” seorang pengawal membawa Jack ke sebuah bilik kecil yang tidak bertingkap. Didalamnya hanya ada sebuah telefon. Cepat-cepat Jack menelefon keluarganya.

“Helo.. Mak ini Jack ni. Ayah mana?”

“Ayah kamu tak ada di rumah Jack.” jawap ibunya perlahan.

“Ayah kat mana mak? Jack nak minta tolong ayah ni.” selesai dia bercakap terus sahaja ibunya menangis.

“Mak? Kenapa mak?” ibu Jack tidak mampu berkata apa-apa lagi.

“Helo.. Along kat mana tu? Along kena balik sekarang. Tolong mak. Ayah dah kena tahan. Ayah ada dekat Pit sekarang.”

“Hah?” terbelik mata Jack mendengar penjelasan dari adiknya itu. Kini dia tahu dia sudah tidak ada pilihan. Mana mungkin ayahnya mampu untuk membantu dia sekarang ini. Kalau dia dan ayahnya dua-dua sudah ditahan, makanya wang bayaran yang diperlukan untuk membebaskan mereka berdua juga sudah berganda. Dia tahu, keluarganya tidak mampu. Dia kini terduduk di sisi telefon.

“Along? Along?” adiknya memanggil dari talian sebelah satu lagi.

Tuuuuuuuttttt

“Masa dah habis. Sila keluar.” pengawal tadi muncul dan mengarahkan dia untuk keluar dan pulang ke bilik tahanannya.

Selang beberapa jam, seorang perempuan datang ke bilik tahanan Jack. Gaya berpakaiannya seperti peguam. Di tangannya ada sebuah fail.

“Encik Jamani Haris Bin Daniel Ali Hamzah?”

“Jack…”

“Huh?”

“Nama aku Jack.”

“Baiklah Jack. Saya Athena. Peguam Pit. Awak tahu kenapa awak ditahan di Pit?”

“Aku tahu.”

“Jadi, awak pun tahu apa yang awak perlu lakukan untuk dibebaskan dari sini?”

“Tahu.”

“Bolehkan awak menyelesaikan pembayaran bil-bil kos kehidupan awak?”

“Tak.”

“Malang sekali, Jack. Andai awak tidak mampu untuk selesaikan hutang-hutang awak, maka awak akan dibawa ke The Black Factory untuk menebusnya.”

“Huh.” rengus Jack.

“Mari saya bacakan senarai hutang-hutang bil kos kehidupan awak, Jack.”

“Tak perlu!” bentak Jack.

“Saya perlu. Ia ada dalam procedure.”

“Huh….”

“Pertama hutang pinjaman pembelajaran awak. Kedua bil air. Ketiga bil api. Keempat sewa rumah. Kelima bil telefon rumah dan telefon bimbit..”

“Aku tak pakai telefon bimbit dan telefon rumah dah!”

“Ya. Memang awak dah beberapa bulan tak guna. Tapi bil sewa line dan bayaran tertunggak sebelum awak matikan penggunaan awak masih ada.” jelas Athena, peguam Pit.

“Yang terakhir, bil O2.”

Bil O2. Bil kadar penggunaan oksigen. Malapetaka yang paling celaka terjadi di bumi ini. Pemberian tuhan pun meraka tuntut bayarannya. Seperti mereka pula yang menghasilkan oksigen untuk semua.

“Dan Jack, saya pasti awak pun tahu sekarang ini Encik Daniel Ali Hamzah, ayah awak pun sedang di tahan di Pit di kampung awak.” Ya. Setiap daerah kini sudah megah terbina Pit. Promosi mereka, ‘Satu Daerah, Satu Pit’.

“Ya, aku tahu.”

“Baguslah. Ayah awak juga tidak mampu untuk menjelaskan hutang dan bil-bil kos kehidupan dia dan keluarga. Jadi awak akan bertemu dengan ayah awak di The Black Factory.” kata-kata yang keluar dari mulut Athena sinis sekali. Bernanah telinga Jack mendengarnya.

‘Celaka!” sumpah Jack.

“Baiklah, Jack. Urusan kita selesai di sini sahaja. Selamat maju jaya. Moga selamat di The Black Factory.” Athena bangun dan terus keluar dari bilik tahanan Jack.

"Kejap. Mak dan adik aku macam mana?"

"Oh. Mereka akan di tahan di Contaiment Station buat sementara waktu. Jangan risau, mereka selamat. Mereka akan ditidurkan sehingga awak dan ayah awak langsaikan hutang kos kehidupan."

"Kau dah gila ke? Hoi! Kau tak boleh buat macam ni. Kami manusia bukan binatang! Woi!!" Athena langsung tidak mempedulikan Jack. Dia terus sahaja keluar dari bilik tahanan tersebut. Membiarkan Jack sendiri di dalamnya.


‘Arrrrghhhhhh!” Jack menjerit sepuas hati. Inilah nasib golongan yang tertindas sepertinya. Andai tidak mampu membayar bil-bil kos kehidupan, maka mereka akan dihantar ke The Black Factory. Disana tenaga mereka akan dikerah untuk kepentingan pihak atasan. Pihak penindas. Kapitalis. Maka malam itu Jack tidur di Pit. Menanti pagi esoknya dimana dia akan dibawa ke The Black Factory.



Share:

2 comments

Komen anda adalah di hargai :D