SOROK #1

Rumah banglo usang di hujung kampung Jaya Sakti yang telah sekian lama sunyi itu kini kecoh dengan suara perbalahan sekumpulan anak muda. Halaman rumah banglo usang yang dipenuhi dengan daun-daun kering itu menjadi gelanggang perkelahian mereka. Waktu maghrib semakin menghampiri. Sinar cahaya matahari pun sudah tidak kelihatan.

            “Mana ada la! Kau jangan nak tuduh-tuduh aku Syuib. Aku bagi penumbuk jugak nanti.” nyata sekali tuduhan yang dilemparkan Syuib tidak disenangi Zul. Dia sudah siap mengepal penumbuknya. Mahu saja dia membedil muka Syuib ketika ini. Biar reti berlapik sikit bila bercakap. Namun belum sempat dia menghampiri Syuib, dia di halang Jonny.

            “Apa kena korang ni? Dah hilang akal? Masa ni lah korang nak gaduh kan?” Jonny berdiri di antara Zul dan Syuib dalam usaha untuk mengelakkan mereka terus berkelahi. Dia tahu kalau dia tidak masuk campur dalam hal ni, perang besar akan meletus antara Zul dan Syuib. Seorang keras kepala dan pantang dicabar. Seorang lagi celupar dan ego. Tak padan dengan badannya yang kecil.

            “Betullah aku cakap! Kalau dia ni tak pandai-pandai usik benda-benda dalam rumah tu tadi, tak ada jadi macam ni punya.” tambah Syuib lagi. Memang dasar cakap tak berlapik. Asal terlintas dalam otak, pasti di sembur keluar. “Dia ni memang nak kena!” jerkah Zul sambil menerkam Syuib. Namun sempat ditahan Jonny sebelum dia sempat berbuat apa-apa. Syuib sedikit kaget dengan tindakan Zul tadi. Tak sangka pula Zul akan bertindak untuk mengapa-apakan dia. “

            Sabar Zul. Tunggu dulu.” Jonny memegang lengan Zul dengan kejap. “Kau Syuib, baik kau diam sebelum aku sendiri yang diamkan kau.” kata Jonny memberi amaran. Mata Syuib dipandang tepat menambahkan lagi kerisauannya. Kalau terjadi pergaduhan antara mereka disini, Syuib tahu dia yang pertama akan tumbang kerana dia tidak berkelebihan dari segi fizikal. Pasti Jonny dan Zul yang nyata lebih tinggi dan berisi daripada dirinya akan dengan mudahnya dapat mengalahkan dia.

            “Hemmph…” Syuib melepaskan nafas keras. Tanda tidak puas hati. Kemudian dia berlalu meninggalkan Jonny dan Zul disitu. Dia mengambil keputusan untuk ke kereta dan duduk tunggu sahaja di sana. “Ingat bagus sangatlah tu. Malas aku nak layan.” monolog Syuib sendiri setelah sampai di kereta.

            “Macam mana ni Jonny? Zul?” Hana yang sedari tadi mendiamkan diri akhirnya bersuara. Raut wajahnya menceritakan segalanya. Dia sedang cuak, risau dan cemas. “Yasmin kita tak jumpa lagi ni. Mana dia pergi Jonny? Kita tak pergi cari dia ke? Takkan nak biarkan dia hilang macam tu je?” Hana seperti tak tentu arah sekarang ini kerana risaukan keselamatan kawan baiknya Yasmin. Kalau tadi dia duduk diam setempat, kini dia mundar mandir di halaman rumah usang tersebut. “Betul kata Hana tu Jonny. Kita kena cari Yasmin. Kesian dia.” Zul yang kini kelihatan lebih tenang bersuara. Dia juga risaukan Yasmin yang diminatinya dalam diam. Sudah lama dia memendamkan minatnya itu. Sehingga hari ini, dia nekad untuk berdiam sahaja. Biarlah waktu yang tentukan apa yang akan jadi. Lagipun mereka sudah lama berkawan. Apa salahnya menunggu buat satu tempoh lagi. Tempoh yang dia sendiri tidak ketahui bila akan berakhir.


            “Jonny? Kenapa diam je? Ini idea kau kan? Kau yang ajak lepak and explore rumah usang ni. Sekarang dah jadi macam ni, kau kena bertanggungjawab Jonny!” melihat Jonny yang membisu dari tadi, Hana bersuara mendesak Jonny membuat keputusan. “Ye. Aku tahu Hana. Bagilah aku berfikir dulu. Boleh?” jawap Jonny bersahaja. Jelas dia kelihatan tenang sahaja jika nak dibandingkan dengan kawan-kawannya yang lain. 


Tags:

Share:

0 comments

Komen anda adalah di hargai :D