UPSR Tahun 2004
Kalau tak silap aku, hari ni bermulalah UPSR bagi adik-adik pelajar darjah 6. Membuatkan aku teringat kenangan-kenagan semasa sekolah rendah - yang sebenarnya tak banyak pun kenangan yang tinggal dalam ruang memori.
Banyak yang dah dilupakan dan digantikan dengan memori dan kenangan yang baru. Boleh jadi juga memori-memori tersebut sudah pon dibuang ke dalam gaung. (Yang ini kena rujuk cerita Inside Out) Almaklumlah, bagi mengadakan ruang untuk memori baru, sesetengah memori lama terpaksa dibuang. Sedih.
Tapi ada beberapa memori semasa sekolah rendah yang akan aku ingat sampai bila-bila, yang juga ada kaitan dengan UPSR.
Antaranya adalah majlis bacaan Yassin dan qiam untuk UPSR. Kena tidur di sekolah masa tu. Yang aku ingat lelaki tidur di dewan dan perempuan tidur di surau. Jauh tu jarak antara dewan dan surau.
Khabarnya malam tu ada pelajar lelaki gatal kaki pergi ke surau, pakai topeng hantu dan takutkan pelajar perempuan. Budak-budak sungguh. Aku rasa macam tahu kerja siapa tapi aku tak dapat nak pastikan sebab dulu semua pun muka nakal-nakal.
Kehkeh.
Satu lagi kenangan yang aku akan sentiasa ingat adalah semasa diumumkan keputusan UPSR. Senarai nama pelajar dan keputusan masa tu ditampal di papan kenyataan sebelah tapak perhimpunan. Aku sampai agak lewat dan kawan-kawan aku dah penuh di papan kenyataan tu.
Aku tengok nama aku pada senarai pelajar yang dapat 4A. Tak ada. Tengok pada senarai 3A juga tak ada. Sedih lain macam dah aku masa tu. Takkanlah teruk sangat sampai 3A pun tak dapat.
Kemudian kawan aku panggil nama aku. Dia suruh tengok senarai nama pelajar yang dapat 5A. Ada nama aku. Aku macam tak percaya saja. Aku tak ingat samada aku menjerit ke tak masa tu. Tapi yang pasti keterujaan aku masa tu masih dapat aku rasa sampai sekarang.
Betapa terujanya aku masa tu, aku terus berlari merentas tapak perhimpunan untuk ke kantin. Aku masih boleh bayangkan betapa cerahnya langit masa tu. Betapa indahnya suasana pada ketika itu. Berbunga-bunga rasanya.
Sampai saja ke kantin aku terus sumbat duit syiling ke dalam telefon awam dan telefon rumah. Mak aku angkat telefon dan aku sampaikan keputusan UPSR aku kepada mak.
Betullah. Sebagai anak, apabila kau kongsikan kejayaan kau bersama mak dan ayah, itulah saat yang tak boleh nak digambarkan perasaan kau. Gembira, bangga, teruja dan sebagainya.
Aku terasa nak kembali ke zaman tersebut. Rindu rasanya. Aku nak ucapkan tahniah pada diri aku sendiri dan berpesan - sentiasa banggakan mak dan ayah. Buatkan mereka tersenyum, sentiasa.
0 comments
Komen anda adalah di hargai :D