Tahun Yang Mendatang

2013

Seperti biasa, usai solat subuh aku akan masuk ke bilik dan membaca Quran. Ianya seakan satu terapi diri. Menghabiskan beberapa helai muka surat selepas subuh itu perlu bagi aku. Kerana jadual sebagai seorang pelajar, kadang-kadang aku hanya punya waktu senggang selepas subuh untuk bersama penciptaku. Ianya tidaklah tetap begitu, tapi selalunya begitulah. 

Sedang aku leka membaca terjemahan ayat-ayat dari kalam suciNya, pintu bilikku diketuk.

“Jogging?”

“Jom!”

“Mak ikut tak?”

Ayah geleng kepala. “Cepat siap. Mak tak ikut.” 

“Okay.”

Memang menjadi kebiasaan ayah dan emak sejak dulu lagi, selepas subuh akan keluar jogging sama-sama. Kecuali kalau puasalah. Lagi-lagi hujung minggu. Aku pula, hanya akan ikut mereka jika cuti dan hujung minggu sahaja. Ini adalah salah satu cara untuk eratkan hubungan kekeluargaan antara kami.

Selalunya, semasa jogging aku akan berjalan dengan emak.  Ayah akan bergerak solo dihadapan. Takkanlah aku nak tinggalkan emak jalan seorang diri. Tak sampai hati. Di belakang, aku dan emak bersembang macam-macam topik. Tidak rigid dan spesifik. Tapi hari ini kerana emak tiada, aku berjalan dengan ayah. 
Hanya kami berdua. Kemudian aku terfikir, bagaimanalah keadaannya dalam tahun-tahun mendatang. 

Adakah masih aku punya masa untuk menemani ayah dan emak di pagi-pagi hari.

2018

Pagi ini, sekali lagi aku menemani ayah jogging di padang. Kali ini aku dan ayah sama-sama di hadapan. Dengan langkah yang laju meninggalkan emak dibelakang. Tapi kali ini aku tak risau tinggalkan emak dibelakang.

Bila aku toleh kebelakang, terasa senang hati ini. Aku melihat emak bertemankan si dia, isteri tercinta. Wanita yang telah aku berjanji akan menemaninya  sepanjang hayat. Senyuman yang terukir di bibir mereka benar-benar membahagiakan aku. 

Kemudian aku pandang ayah. Aku pula yang tersengih. Tidak pula aku sangka setelah berumah tangga aku masih mampu menemani ayah dan emak di sini. Kalau dulu biasanya bertiga, sekarang kami berlima.

Dua dihadapan, tiga di belakang. Ya. Tiga di belakang. Si kecil itu, kelihatan girang sekali berjalan bersama ibunya dan ibuku.




Share:

0 comments

Komen anda adalah di hargai :D