ANGAU [Mengejar Layang-Layang]

BAB 2 ANGAU

Restoran yang sering menjadi perhatian pekerja-pekerja syarikat swasta berhampiran itu kelihatan agak lengang. Restoran Cara Kampung namanya. Mungkin kerana waktu rehat pejabat sudah hampir tamat. Biasanya apabila waktu puncak, restoran yang menyajikan masakan melayu pelbagai jenis sebagai juadah utama itu akan sesak. Sehinggakan kadang kala ada pelanggan yang terpaksa beratur panjang menunggu giliran mendapat tempat duduk. Kini, pengusahanya, Pak Idris terpaksa mengupah beberapa pekerja tambahan hanya untuk membantunya di waktu puncak.

“Kenapa muka semacam je?”

“Huh?”

“Kau tu. Muka macam ayam berak kapur je...”

“Amboi. Bukan main lagi kau mengata aku.”

“Ha ha. Bukan mengatalah. Tapi jelas sangat muka kau tu... Macam memikirkan sesuatu.”

“Biasalah... Banyak kerja.”

Hafiz berbasi-basi. Malas melayan rakan sekerjanya, Hakimi yang juga sahabat baiknya. Sejak mula bekerja di syarikat  itu, dia dan Hakimi memang rapat. Kata orang, cepat ngam. Mana tidaknya, seorang kuat menyakat. Manakala seorang lagi sering menjadi mangsa sakatan yang seorang lagi. Kebiasaannya kalau disakat, Hafiz tidak akan cepat melatah. Ada sahaja ideanya untuk membalas sakatan Hakimi. Kadangkala kelihatan seperti kanak-kanak riang, namun itu tidak menjadi masalah buat mereka. Yang penting mereka tidak mengganggu orang lain dan begitulah sebaliknya. Walaupun pada hakikatnya mereka sudah layak bergelar suami orang. Bahkan sudah layak menjadi bapa.

Tapi barangkali Hafiz sudah muak menjadi mangsa sakatan Hakimi. Setidak-tidaknya itulah yang dirasakan oleh Hakimi. Hafiz yang ada bersamanya hari ini lain benar. Diam sahaja.

Hakimi dapat mengesan ada sesuatu yang bermain di fikiran Hafiz. Keakraban yang terjalin di antara mereka  membuatkan Hakimi faham benar dengan gaya Hafiz. 

“Ahh sudah... Senyum pulak dah dia ni.”
Hafiz memandang Hakimi. Senyum yang tadi terukir di mukanya kendur. 

“Senyum pun salah ke?” sebelah keningnya diangkat. Soalan yang keluar daripada mulut Hafiz itu membuatkan Hakimi tergelak sendiri. Setelah puas menggelakkan Hafiz, Hakimi memperbetulkan duduknya dan merapatkan mukanya ke hadapan sebelum meneguk segelas air sirap laici yang di pesannya sebenar tadi.

“Senyum tu tak salah. Yang salahnya senyum tak tentu pasal. Baru je tadi muka kau masam, sekarang kau senyum. Tak ada ribut, tak ada tsunami tiba-tiba senyum. Meleret panjang pulak tu senyumnya. Sampai ke telinga aku tengok. Biasanya orang kalau senyum tak tentu pasal ni, adalah udang yang tersekat di celah-celah batu tu.” jelas Hakimi panjang lebar. Hafiz menggaru kepalanya. Mungkin runsing mendengar celoteh panjang Hakimi.

“Tak nak berkongsi dengan saya ke Encik Hafiz?” tambah Hakimi lagi. Sengaja mahu mengusik Hafiz.

“Aduh...  Ke situ pulak dah kau ni.” Balas Hafiz.

“Bukan apa... Aku ni bukannya orang lain...” Hakimi memasang muka serius.”...aku ni kan dah macam Abang Long kau. Jadi apa-apa hal, silalah berkongsi dengan aku. Dengan besar hatinya aku akan jadi tempat kau meluahkan isi hati kau.” sambung Hakimi lagi sambil menongkat dagunya. Tersengih Hafiz mendengarnya.

“Apa benda pulak dah kau ni. Abang Long...” Hafiz merapatkan mukanya ke hadapan. “...saya juga berbesar hati kalau Abang Long berhenti menyibuk hal saya.” Mendengar kata Hafiz itu, Hakimi berpeluk tubuh. Bersandar pada kerusi.

“Yelah... Tak nak sudah. Esok kau turun makan sendiri. Aku tak nak teman.” sekarang Hafiz pula  yang tergelak melihat rakannya itu. Dikesat air mata yang menitis kerana gelak terlalu kuat. Tidak sangka, sampai begitu sekali Hakimi merajuk. Niatnya hanya mahu membalas sakatan Hakimi. Mungkin sakatannya tidak kena pada masanya. Orang serius, kita pula main-main. Lupa pula dia, Hakimi ini walaupun suka menyakat orang tapi cepat terasa orangnya.

“Encik Hakimi... Kalau kau tak teman aku, siapa nak bayar makan nanti? Tak kan nak masuk buku hutang Pak Idris pula?” Hafiz cuba memujuk Hakimi. Cuba membuat sahabatnya itu senyum semula. “Serius pulak dah dia ni.” monolog Hafiz. “Macam mana nak pujuk ni?” Hafiz terus bermonolog.

“Oklah... Aku cerita. Nak tahu ke tak?” Hafiz mengumpan perhatian Hakimi. Mendengar kata-kata itu, terus Hakimi merapatkan diri ke hadapan. Hilang rajuknya yang sengaja dilakonkan, juga dengan harapan agar dapat mengumpan Hafiz membongkarkan rahsia besar yang bermain difikirannya. “Yesss... Umpan mengena.” Hakimi pula bermonolog.

“Soo... Apa cerita? Puteri kayangan mana yang buat angau ni? Sampai kau berpaling tadah daripada Abang Long kau ni.” soal Hakimi sambil tersengih sendiri. Teruja sungguh dia apabila mendengar Hafiz mahu berkongsi cerita dengannya. Selalunya susah untuk dia mengorek cerita-cerita daripada Hafiz. Hafiz ini perahsia orangnya. Tidak banyak yang kata-kata yang keluar daripada mulutnya. Kalau ada pun, kebanyakannya berunsur ilmiah. Yang berunsur ilmiah itu, cukup membosankan Hakimi.

“Puteri kayangan mana ni? Pandai-pandai je ko ni kan. Aku tak jadi cerita nanti, baru tahu erti penyesalan.” gertak Hafiz sambil meniru salah satu scene kegemarannya daripada filem KL Gangster. 

“Aiyak... Ini budaklah... Aku gurau je tadi... Cepat cerita. Aku diam. Kau cerita. Cepat!” Hakimi tidak mahu Hafiz berfikir dua kali. Terus sahaja dia mengunci mulutnya. Memberi ruang untuk Hafiz bercerita.
 Merah muka Hakimi menahan gelak. Dia meraup muka kemudian menarik nafas dalam-dalam dan menghembusnya. Diulang beberapa kali. 

“Aku... aku tak tahu nak cakap apa. Cuma...” Hakimi bersuara juga setelah dapat menahan diri daripada menggelakkan Hafiz. “Cuma apa pulak kau ni? Inilah sebabnya aku malas nak cerita kat kau.” Hafiz bersuara. 

‘Sudahlah. Jom balik pejabat. Nak solat lagi. Buang masa je aku cerita kat kau. Jom.” Hafiz bangun dan berjalan menuju ke kaunter pembayaran. Makin di layan makin menjadi pula nanti. 
Selepas solat zohor Hafiz dan Hakimi segera ke pejabat. Tidak mahu pula nanti dilabel mencuri tulang, sengaja masuk lewat. Tambahan pula setiap pekerja telah diingatkan supaya jujur dan amanah, terutamanya dari segi penjagaan masa. Itulah yang paling diutamakan bos mereka Encik Nazri.

“Hai Hakimi, kenapa tersengih-sengih ni? Tak mahu kongsi ke?” Nabila, rakan sekerja mereka yang lebih senior menegur. “Tak ada apa la Kak Nabila. Hakimi ni memang senget sikit. Abaikan.” Hafiz pantas menjawab sebelum Hakimi. Risau terbongkar pula cerita tadi.

“Mana ada tak ada apa-apa. Kak, kawan saya, Hafiz ni dah terkena sumpahan Puteri Layang-Layang. Dia sudah jatuh ke dalam arena mainan jiwa dan perasaan.” Hakimi terus tergelak  sejurus menghabiskan katanya. Nabila ikut tergelak. “Eloklah tu. Cepat-cepat naik pelamin ye.”

“Hish, akak ni. Dengarlah cakap Hakimi tu. Entah mana sumbernya. Kalau saya betul-betul jatuh tersembam di arena tu, saya mesti beritahu kat akak.” Hafiz mempertahankan diri. Menafikan apa yang dikatakan Hakimi tadi. 

“Sudahlah. Jangan kau menafikannya wahai sang pencinta.” Hakimi terus galak menggelakkan Hafiz. “Kau ni, aku bagi makan ni nak?” Hafiz menunjukkan buku limanya pada Hakimi. Nabila tergeleng kepala melihat telatah mereka berdua. “Hehehe. Tumbukan sang pencintakah itu?” Hakimi terus menyakat Hafiz.

‘Siapa sang pencinta? Siapa?” perbincangan hangat mereka disampuk seorang lagi rakan sekerja mereka, Yati. Terpinga sebentar Hafiz dan Hakimi. “Tak payah kau nak layan dua orang mamat ni Yati. Buang masa je.” pantas dijawab oleh Nabila.

“Aku pergi dulu. Banyak kerja lagi ni.” Hafiz meminta diri. Segera ditinggalkan rakan-rakan sekerjanya. “Kenapa pula Hafiz tu? Macam nampak hantu je.” soal Nabila. “Entahlah kak. Biasalah dia tu. Kadang-kadang pelik jugak saya. Sekejap bergelak sakan, sekejap muram, diam dan terus menghilang diri. Macam masa makan tadi kak, mula-mula saya tengok dia macam runsing je. Lepas tu senyum sendiri. Bila ditegur, dimarahnya kita. Haiya...” jelas Hakimi panjang lebar. 

“Yati nak kemana ni? Bukan tadi tengah semak fail kira ke?“ Nabila memecah sunyi. “Oh. Saya nak pergi simpan balik fail ni. Dah habis semak dah. Semua OK je.“ jawab Yati. Di tangannya ada beberapa fail kira-kira syarikat yang selesai disemaknya. Sebelum rehat tengahhari tadi, Nabila sendiri yang meminta bantuannya menyemak fail-fail tersebut. “Nak saya tolong simpankan fail tu Yati?” Hakimi menawarkan bantuannya sambil tersengih. Memang sejak mula berkhidmat di syarikat ini, hatinya sudah tertawan dengan gadis kecil molek tersebut. Entah apa yang menarik hatinya, dia sendiri tidak tahu. Yang dia tahu, hatinya sudah dimiliki oleh gadis tersebut. Harapannya agar hati Yati belum dimiliki sesiapa lagi. Mudah baginya hendak mengatur langkah nanti. 

“Tak mengapa. Saya boleh simpan sendiri. Buat susah awak je Hakimi. Baik awak pergi sambung kerja awak yang bertangguh tu. Betul tak Kak Nabila?” Yati melemparkan senyuman sumbing kepada Hakimi sebelum memandang Nabila. “Betul sangatlah tu. Dokumen Serah Tugas dah siap Kimi?” Nabila mengangkat keningnya sebelah. “Hee... Belum kak. Saya pergi siapkan sekarang jugak.” Hakimi melangkah meninggalkan Yati dan Nabila. 

“Gatal jugak Kimi ni. Kamu jangan layan sangat dia tu Yati. Abaikan saja. Lelaki, pantang ada peluang. Masa pejabat, tumpu pada kerja.” Nabila menasihatkan Yati sedikit sebanyak yang termampu. Dari gerak geri Hakimi, dia tahu Hakimi suka pada Yati. Yang dia tak tahu, samada sukanya itu ikhlas atau sekadar main-main. Kalau ikhlas, dia tidak menghalang. Tapi, jangan dibawa ke pejabat sehingga terabai waktu produktif kerja. Jangan mencuri masa bekerja. Itu jugalah yang ditekankan majikan mereka Encik Nazri. “Baiklah kak. Yati tak layan pon dia tu. Geli tengok orang gatal miang macam tu.” senyum Yati pada Nabila.”Lagipun... Yati suka...” 

“Suka siapa Yati? Amboi pandai dah kau sekarang ye. Bercinta tak beritahu aku pun.” Hakimi menyampuk dari jauh. Dia memang suka menyakat rakan sekerja yang lain. Dalam ruang pejabat yang tidak sebesar mana itu, memang dialah yang selalu membangkitkan suasana ceria bekerja. Berbeza sekali dengan Hafiz yang fokus dan serius ketika bekerja. Selalunya lawak-lawak bodoh yang Hakimi buat semasa kerja diabaikan sahaja. Bagi dia, lebih baik dia menghabiskan kerjanya sehabis baik agar tidak bertangguh.

“Diamlah Kimi!” sergah Yati pada Hakimi sebelum melangkah ke bilik simpanan fail dihujung pejabat. “Amboi... Buasnya. Gurau pun nak marah. Merajuklah macam ni. Hafiz... Pujuklah aku.” Hafiz hanya memandang Hakimi dan menggeleng kepala beberapa kali sebelum kembali memberi tumpuan pada kerjanya. “Kau ni Kimi, akak adu pada Encik Nazri nanti baru kau tahu.” Nabila memberi amaran. Mungkin tidak tahan dengan gelagat Hakimi yang agak melebih-lebih kali ini. Kasihan Yati. Pasti gadis itu malu diperlakukan sebegitu rupa. “Saya kerja kak. Saya kerja...”  

Puan Nawal yang sedang leka menonton rancangan di televisyen terkejut bila mendengar bunyi pintu pagar rumah dibuka. Jam baru melepasi angka dua. Sepatutnya pada waktu begini, suaminya mahupun anaknya masih sibuk dengan urusan pejabat. Mana mungkin suaminya, Encik Kamarul pulang awal hari ini kerana jadualnya penuh dengan mesyuarat. Anaknya Hafiz pula, jarang-jarang sekali pulang awal dari pejabat. Paling awal pun sejurus masuk waktu asar.

“Hafiz, awal kamu balik hari ni.  Bos bagi cuti ke?”

“Tak pun. Saya minta balik awal. Badan ni sakit-sakit. Lagipun, kerja pejabat semua dah siap. So, bos lepaskan je.” jelas Hafiz sekadarnya. Ketika ini mahu saja dia terus melompat ke atas katilnya. Ingin mengendurkan urat-urat badan yang mungkin tegang akibat terlalu banyak bekerja. 

‘Aik... Senyap je. Alia mana mak? Bukan ke dia dah balik dah waktu ni?”

“Adik kamu tu ada group study kat sekolah. Jadi balik lewatlah hari ni.”

“Oh... Hafiz naik dulu ye mak. Nak tidurlah. Penat.”

“Hafiz, nanti kamu tolong ambil Alia dari sekolah ye. Sebelum asar nanti. Boleh?”

“OK. Mak tolong kejutkan Hafiz nanti ye. Takut tak bangun pula nanti.”

Hafiz merebahkan badannya ke atas katil. Tilam empuk yang berharga ratusan ringgit itu cukup selesa. Lebih-lebih lagi apabila di alas dengan cadar yang lembut. Bagaikan berbaring di atas awan. Kemudian dia melihat jam di dinding. Baru melepasi jam dua petang. Tidak lama selepas itu, Hafiz terlelap.



Share:

0 comments

Komen anda adalah di hargai :D