Ketika aku menjadi bapa



“Dah ambil duit belanja kamu?”

“Hah? Kat mana?”

“Abang letak atas meja kat rumah tadi. Tak ambil ke?”

“Mana ada. Tak nampak pun. Habis tu macam mana ni?”

“Kamu ambil la dulu 5 ringgit ni buat belanja. Nanti abang minta ayah hantar.”

“Hemm... Yelah.”

“Nasib baik ada 5 ringgit sekeping je. Kalau ada 50 ringgit sekeping je tadi, raya sakanlah kamu.”

Ketika itu, aku sudah pun memandu separuh jalan. Kalau nak patah balik ke rumah, hanya membuang masa memandangkan jam sudah pun hampir ke angka enam petang Jika lewat sampai, tidak dibenarkan masuk ke kawasan sekolah.

Dalam minda, aku memikirkan macam mana aku boleh terlupa nak beritahu adik aku yang duit belanja dia ada di atas meja. Mungkin kerana sebelum bertolak tadi aku agak kelam kabut. Nak sediakan barang makan untuk adik aku bawa balik ke asrama, nak angkat kain baju kat luar dan lain-lain lagi. Semua tu aku kena buat sendiri sebab mak, ayah dan adik-adik perempuan semuanya ada di kampung untuk kenduri doa selamat. Tinggallah aku dengan adik bongsu aku di rumah dari pagi. Sebelum ayah bertolak pagi tadi, perkara pertama yang ayah ingatkan adalah duit belanja adik. Tapi, terlupa juga aku.

Kemudian sesuatu melintas di fikiran aku.

 “Kalau mak dengan ayah yang hantar adik, mesti tak jadi kelam macam aku sekarang ni.”

Aku  tersenyum sendiri mengenakan ‘drama’ yang berlaku setiap kali nak hantar adik aku balik ke asrama. Seawal jam 3 mesti mak dah bersiap –siap untuk masak makanan untuk adik bawa ke asrama. Kalau masa zaman aku dulu, lagi awal sebab asrama aku jauh. Biasanya mak akan masak yang sesuatu yang simple tapi boleh bertahan sehingga malam. Itu perkara biasa.

Selepas masak, mak akan bertanya perihal pakaian adik pula.

“Dah kemas beg ke belum adik?’

Biasanya memang belum. Anak bongsu, manja. Itu lumrahnya. Maka, mak akan bantu kemaskan beg adik. Kadang-kadang mak akan minta tolong adik perempuan aku. Anak perempuan sulung keluarga ‘besar’ ni.  Rajin orangnya. Tapi tidak serajin aku. Mungkin.

Mana ayah? Sebelum hantar adik balik ke asrama, ayah akan tidur dulu. Berehat sebelum nak memandu. Itukan bagus. Agar perjalanan yang tidaklah sejauh mana, tetap selamat. Ataupun ayah akan ke pasar raya berdekatan untuk membeli barangan keperluan adik.

Saat nak bertolak, biasanya ayah yang akan siap dulu. Walaupun dalam masa yang sama adik baru siap mandi, mak baru nak tukar pakaian dan barang-barang adik masih belum dimuatkan ke dalam kereta.

“Ok, lets go.”

“Cepat cepat cepat!”

“Dah pukul berapa ni? Tak nak balik asrama ke?”

Antara ayat yang biasa kedengaran. Ayah tahu, mak dan adik belum siap. Tapi tetap juga ayah bagi arahan begitu. Walaupun kedengaran seperti menggertak ataupun mungkin juga marah, tapi sebenarnya ayah tenang saja. Cuma nadanya saja, sedikit tinggi. Bak kata Ustaz Amin, suara tahap 8 atau 10. Mula-mula aku juga beranggapan begitu.

“Ayah ni, tak reti sabar betul...” kata aku dalam hati. Namun seiring waktu berjalan, anggapan aku itu juga berubah. Ternyata aku silap. Sebenarnya ayah cuma mengingatkan. Kerana sebagai ketua keluarga, ayah harus tegas. Itulah lambang seorang pemimpin.

Kadang-kadang sampai ayah bunyikan hon kereta kerana mak ataupun adik masih belum masuk kereta. Maklumlah, mak nak bersiap. Kalau nak keluar rumah, mestilah berpakaian yang sesuai dan cantik dalam bersederhana. Bukan untuk orang lain, untuk ayah juga. Adik pula, terkadang aku juga menggeleng kepala dengan kerenahnya. Orang lain sudah siap, dia baru nak sikat rambut. Itu pun selalunya ambil masa lebih daripada seminit. Steady. Tapi menjengkelkan.

Semua ini selalunya terjadi di petang hari ahad. Tapi petang ahad kali ini, wataknya bertukar. Yang masih ada, hanyalah adik. Aku mengambil tugas mak dan ayah. Mulanya aku merasakan ianya tugas yang mudah. Sekadar hantar adik balik asrama. What can go wrong?

Allah Maha Kuasa. Dia tunjukkan kepada aku, tugas yang aku anggap remah ini punya tahap kesukaran yang tersendiri. Bermula dari lewat bangun tidur. Kemudian aku sedar, tiada bekal makanan untuk adik bawa balik asrama. Tersilap jalan. Sehinggalah terlupa duit belanja adik. Walaupun semuanya dapat aku atasi, namun ternyata apa yang berlaku membuat aku berfikir dan muhasabah. Betapa besarnya jasa mak dan ayah terhadap kami semua. Terhadap aku. Kerana dulu pun, aku pernah lalui jalan yang adik tempuh sekarang.

Namun masa aku sudah berlalu dan aku akan melalui fasa yang lain pula. Dan aku berjanji dengan diri aku, setiap yang terjadi harus aku ambil iktibar dan pengajaran. Jika ia sesuatu yang baik, aku harus contohi dan jadikan ikutan. Jika ia sesuatu yang kurang baik, aku harus muhasabah dan cuba untuk atasinya di masa hadapan. Lebih bagus, aku perbaikinya. Menjadikannya tanda aras. Semoga aku tidak seperti itu nanti.

“Boleh pulak jadi macam ni.”aku berkata kepada diri sendiri. Mengenangkan apa yang terjadi petang ini. Kemudian teringat pada mak dan ayah yang saling melengkapi.

“Aku perlukan isterilah macam ni.” aku tergelak sendiri.



Share:

2 comments

  1. selalunya MAK lah yg akan remind semua benda. kan?
    biar penat camne pun, MAK jgakla yg akan setelkan
    segalanya.. kan? :)

    “Aku perlukan isterilah macam ni.” <-- part ni buat aku senyum.. hehe..
    semoga dipercepatkan jodoh. aminnn =)

    ReplyDelete
  2. betul. tidak sempurna tanpa dia. =)

    amin. terima kasih anamizu kaito..

    ReplyDelete

Komen anda adalah di hargai :D