Mengejar Layang-Layang

1:38 PM Hasnul Adin 2 Comments



Matahari megah menerangi alam. Angin yang bertiup mengurangkan bahang akibat tujahan haba sang mentari. Pohon kelapa meliuk lentok bagaikan menari mengikut rentak bayu. Indahnya suasana. Suara ombak yang menghempas pantai pasti menambahkan mood sesiapa saja. Santai. Aman dan nyaman. Itulah yang dicari acap kali berkunjung ke pantai. Tidak kurang juga suara gembira pengunjung-pengunjung yang rata-ratanya mencari ketenangan. Ingin melarikan diri dari hiruk pikuk kota raya.

Di satu sudut pantai, kelihatan dua susuk berkejaran. Sekali pandang, terserlah kegembiraan dari wajah kedua-duanya.

“Wah... Penatnya...” keluh Alia.
“Itulah, abang kat dah tak mahu main kejar-kejar. Kamu nak jugak.” kata Hafiz kepada adiknya.
“Bukan selalu pun kan... “ Alia tersengih. “Lagipun, dah lama kita tak datang pantai ni.”sambungnya lagi. Hafiz masih tercungap-cungap. Mencari nafas.

“Aik... Semput ke ?” tanya Alia mengejek abangnya. Hafiz merenung tajam adiknya. Matanya dipincing. Mulutnya mencebik. “Mak... tengok abang tu. Dia buat muka.” adu Alia pada Puan Nawal. Puan Nawal hanya mampu menggeleng kepala melihat telatah anaknya. Hafiz dan Alia, kedua-duanya adalah penawar hatinya. Walaupun nakal, tapi kemesraan sebeginilah yang mendatangkan bahagia dihatinya. “Sudahlah tu, Hafiz.” Puan Nawal mengeluarkan bekal yang dibawa dari rumah. “Jom, kita makan dulu. Cukup-cukuplah sakat adik kamu tu.”

“Dengar tu abang.” Alia menjelirkan lidah pada abangnya. Terbeliak mata Hafiz melihat tindakan adiknya itu. Dia tersenyum nakal. “Oh... Pandai dah sekarang. Main jelir lidah ye.” Hafiz cuba menangkap tangan adiknya. Alia mengelak dan terus bangun mencari Puan Nawal. Dia berlindung dibelakang Puan Nawal. Hafiz terus bangun dan mengacah untuk menangkap adiknya.

“Sudahlah tu Hafiz. Kamu tu bukannya kecil lagi. Dah 24 tahun dah. Malulah orang tengok.” kata Puan Nawal kepada anak sulungnya itu. Hafiz menurut saja kata Puan Nawal.Dia terus duduk di sisi ibunya. “Alia, kamu pun sama. Dah 16 tahun. Besar panjang dah. Mari duduk, makan dulu. Lepas ni boleh mandi laut.” Alia senyum pada Puan Nawal. “Terlupalah mak..” kata Alia. “Lupa apa?” Hafiz tertanya-tanya. “Orang lupalah, orang ni dah besar... Ingatkan baby mak lagi.” kata Alia sambil memeluk Puan Nawal dari belakang
.
“Laa... Abang ingatkan apa tadi.” Hafiz menjulingkan matanya. “Ayah mana, mak?” Hafiz memandang Puan Nawal. “Ayah kamu mana lagi, kecemasanlah. Dari dalam kereta ditahan katanya.” jawab Puan Nawal. Hafiz angguk tanda faham. “Mak...” Alia merengek manja. “Dah kenapa pulak ni? Merengek tiba-tiba ni.” Alia tersenyum dengan soalan Puan Nawal. “Nak aiskrimlah tu...” celah Hafiz sengaja mengusik. “Mana ada orang jual aiskrim kat sini.” “Bukanlah mak. Abang ni memandai je. Orang tak habis cakap lagi...” Alia menafikan kata-kata abangnya. Hafiz tersengih sambil tangannya mencapai botol air.

“Mak... Adik nak kakak, boleh?” tersembur air yang baru saja diminum Hafiz. “Kenapa ni abang?” kali ini Alia pula yang tersengih. “Ada semut dalam air ni...” Hafiz cuba mengelakkan diri. Tergelak Puan Nawal. Dia faham maksud soalan Alia dan dia yakin Hafiz juga faham. Pasti, Hafiz cuba mengelak dari membincangkan soal ini. Ini bukan kali pertama topik ini dibangkitkan. Puan Nawal sebenarnya sudah lama bersedia untuk bermenantu. Hatinya ingin benar melihat anak terunanya yang seorang itu berumah tangga. Suaminya, Encik Kamarul juga begitu. Dia merasakan sudah tiba masanya Hafiz malangkah ke fasa seterusnya dalam hidup ini. Segera melengkapkan separuh dari agamanya.

 Sebelum ini Puan Nawal pernah menyatakan hasrat untuk menyatukan Hafiz dengan anak salah seorang rakannya. Anak kepada Puan Hajar.  Diana namanya. Seorang graduan universiti. Baik orangnya, sopan santun dan menghormati orang tua. Puan Nawal cukup terpikat dengan Diana ketika berkunjung ke rumah Puan Hajar. Manis orangnya. Pada hematnya, Diana cukup padan dengan Hafiz. Tidak terlampau tinggi, tidak terlalu rendah, putih kulitnya, berlesung pipit menambah manis di wajah anggun anak dara itu. Bertudung rapi dan tidak terlalu mengikut trend  tudung moden kini. Sesuai benar dengan Hafiz yang tinggi lampai, berbadan tegap, kulit sawo matang. Walaupun anaknya itu gemar menyimpan jambang, tapi sentiasa dijaga rapi. Walaubagaimanapun, mentah-mentah hasratnya ditolak Hafiz.

“Belum masanya mak...” kata Hafiz sedikit memberontak. “Mak bukannya nak memaksa kamu Hafiz. Mak cuma beritahu apa yang mak rasa terbaik buat masa ni untuk kamu.” Puan Nawal memujuk anak sulungnya itu. Hafiz yang duduk di sofa bertentangan dengannya hanya mendiamkan diri. Memandang lantai rumah. “Diana tu, baik budaknya. Mak berkenan. Itu saja. Tapi keputusan tetap di tangan kamu. Mak tak paksa.” tambah Puan Nawal.

Hafiz menghela nafas dalam-dalam. Seakan mencari kekuatan dalaman. “Macam ni lah mak.” Hafiz bersuara, menarik perhatian Puan Nawal. “Mak berikan Hafiz masa. Hafiz istikarah. Insyaallah, nanti Hafiz berikan jawapan. Boleh?” berbunga hati Puan Nawal mendengar ungkapan itu. Padanya, jika Hafiz mempertimbangkan hasratnya, itu pun sudah cukup daripada langsung tidak ambil peduli. Lebih baik ada daripada langsung tiada. “Boleh... Nanti Hafiz beritahu mak.” senyum Puan Nawal pada anak terunanya itu. “Saya naik bilik dulu mak. Nak zohor dah ni.” Hafiz bangun dari duduknya. Dia mendapatkan Puan Nawal. Mencapai dan mencium tangan Puan Nawal sebelum Puan Nawal meraih kepala Hafiz dan mencium dahi anaknya itu. Tanda kasih sayang.

Namun, selepas itu tiada sebarang berita. Hafiz terus mendiamkan diri. Langsung tidak dinyatakan persetujuaan ataupun bantahan. Soal tersebut terus berlalu tanpa ada maklum balas daripada Hafiz. Tahulah dia bahawa anaknya itu masih belum bersedia.

“Kalau nak kakak, pergi tanya kat abang kamu tu.” kata Puan Nawal pada Alia. Tersentak Hafiz mendengar ungkapan itu. Bagaikan nak tercabut jantungnya. Otaknya ligat mencari jalan untuk mengelakkan diri. Degup jantungnya semakin laju. Puan Nawal dan Alia tergelak melihat Hafiz. Kalau tadi bukan main lagi menyakat adiknya. Sekarang diam seribu bahasa. “Abang...” Alia merapati abangnya. Mata Hafiz melihat sekeliling. Cuba mencari idea. Peluh mula membasahi dahinya. Cemas seketika dalam situasi tersebut. “Abang... Mak kata, kalau adik nak kakak kena tanya abang. “ Alia menyambung.

Hafiz semakin tidak keruan. Merah padam mukanya. Dia tidak selesa membincangkan soal ini. Dia bukannya jenis yang suka bercakap soal jodoh. Apalagi soal kahwin. Bagi Hafiz, masanya belum tiba. Sudahlah bersembang dengan perempuan pun jarang-jarang. Kalau ada pun atas urusan kerja. Bila di ajak bersembang soal perempuan, bertambah-tambahlah tidak selesa dirinya.

Alia hairan melihat abangnya yang masih mendiamkan diri. Memandang sekeliling bagaikan mencari sesuatu. Namun tidak pasti apa yang cuba dicari. “Abang? Dengar tak orang cakap ni?” Alia menggoncang bahu abangnya.

“Tengok tu! Alia tengok tu!” kata Hafiz mengejut. “Opocot!” tidak semena-mena Alia melatah. Reaksi spontan akibat perbuatan Hafiz yang tiba-tiba memecah sunyinya. “Hish! Abang ni kan. Suka sakat orang tau.” Alia memukul tubuh abangnya. Hafiz cuba mempertahankan diri dengan tangan kirinya. Tangan kanannya diangkat tinggi. Jari telunjuknya diarahkan pada sesuatu di langit. “Alia... Tengok tu... Layang-layanglah...” Alia berhenti memukul abangnya. Matanya melihat kearah yang ditunjukkan abangnya. “Abang! Layang-layang. Mak! Layang-layanglah.” Teruja Alia melihat layang-layang tersebut. Puan Nawal yang sedari tadi sibuk membelek majalah Hawa mengangkat muka. Memandang kearah layang-layang tersebut. Kemudian dia senyum pada Alia.

“Alia, layang-layang tu dah putuslah talinya. Jom kejar. Siapa dapat dulu, menang. Yang kalah kena belanja aiskrim.” Hafiz mencabar adiknya. Dia sedikit lega kerana dapat melarikan diri dari soalan yang diajukan adiknya tadi. Walaupun kali ini dia terpaksa berlari sekali lagi di sepanjang pantai. Alia terpikat dengan tawaran abangnya itu. “Jom! Satu... Dua...” belum sempat  habis kiraan Alia, Hafiz memecut terlebih dahulu. Alia terpinga ditinggalkan Hafiz. “Abang! Tunggulah!” Alia bangun dan berlari mengejar abangnya. Puan Nawal hanya mampu meleretkan senyuman dan menggeleng kepala melihat keakraban kedua-dua anaknya itu. Kadang-kadang dia sendiri risau dengan mesranya Hafiz dan Alia. Takut terlebih mesra sampai bergurau cara ganas pula.

“Kemana pulak dua orang anak awak tu?” soal Encik Kamarul entah dari mana. Terkejut Puan Nawal sehingga terlepas majalah ditangannya. “Hish... Abang ni. Terkejut saya tau.” Puan Nawal mengusap-usap dadanya. Dipandang suaminya itu tajam. Menarik muka sedikit kerana digelakkan oleh suaminya.  “Kenapa terkejut?” soal Encik Kamarul pendek. Puan Nawal mengangkat semula majalah yang terlepas tadi. Dibetulkan duduknya semula. “Yelah... Datang entah dari mana, tiba-tiba sergah saya. Saya ni dah tua tau. Jantung ni, tak kuat macam dulu. Kalau kena penyakit lemah jantung macam mana? Abang nak tanggung? Sanggup ke abang tengok saya sakit?” jawab Puan Nawal panjang meleret. Membebel sedikit. Mungkin kerana kecil hati dengan tindakan suaminya itu. Encik Kamarul mendiamkan diri. Ditatap wajah isterinya dalam-dalam. “Abang dengar tak saya cakap ni?” Puan Nawal mengalihkan mukanya daripada majalah ke arah suaminya. “Kenapa abang pandang saya macam tu?” soal Puan Nawal. Pelik kerana suaminya memandang dirinya sebegitu. “Saya nak tengok muka awak puas-puas.” Jawab Encik Kamarul. “Hah? Kenapa?” sambung Puan Nawal lagi. “Nanti masa awak sakit, saya nak bandingkan muka awak.” kata  Encik Kamarul sinis. Mengusik isterinya. Kemudian dia tergelak sendiri. Puas dapat mengusik isterinya yang tercinta. Teman yang paling setia disisi. Bersama dikala susah dan senang. Yang bersamanya menghadapi dugaan hidup selama ini. Puan Nawal menarik muka. Tidak lama selepas itu dia tersenyum pada suaminya itu. Fahamlah dia bahawa suaminya itu hanya bergurau.

Layang-layang berwarna biru itu kelihatan cantik sekali. Ditambah dengan sinaran cahaya mentari, sepertinya layang-layang itu berkilau megah. Terbang tinggi di awanan tanpa kemudi. Bebas. Mungkin itulah yang dirasai Hafiz dikala ini. Bebas dari persoalan yang diajukan adiknya sebentar tadi. Kalau tadi dia merasa rimas, sekarang fikirannya terasa tenang dan bebas.

“Abang! Cepat abang! Nanti layang-layang tu jatuh.” Alia menjerit dari belakang. Hafiz mendahului adiknya dalam usaha mengejar layang-layang tersebut. Dia berhenti sekejap dan menoleh ke belakang. “Cepatlah! Jom, cepat Alia!” Hafiz memberikan adiknya galakan. Kasihan pula dia melihat adiknya jauh ketinggalan di belakang. Apabila adiknya semakin hampir, dia menyambung lariannya. Mengejar layang-layang.

Akhirnya jatuh juga layang-layang biru itu. Bersemadi diatas pasir pantai yang memutih. Tersenyum Hafiz melihatnya. Lega kerana layang-layang biru itu tidak tersangkut di pohon pokok. Ataupun lebih teruk, terdampar jauh ditengah laut. Hafiz memperlahankan lariannya. Jarak antara dia dan layang-layang tersebut hanyalah sekitar 30 meter sahaja sekarang. Dia berjalan menghampiri layang-layang tersebut. Sedang dia semakin hampir dengan layang-layang tersebut, muncul seorang wanita mengutip layang-layang tersebut. Hafiz terkaku seketika. Di hadapannya kini seorang wanita berbaju kurung biru laut. Lengkap bertudung, manis dipandang. Jarang sekali orang ke pantai berbaju kurung. Dan jarang sekali dia terpana melihat susuk seorang wanita. Ada sesuatu tentang wanita tersebut menarik perhatiannya. Namun dia tidak pasti. Yang pasti, wanita tersebut sedang memegang layang-layang biru yang dikejarnya sedari tadi.

“Abang, mana layang-layang tu?” pertanyaan  Alia menghentikan lamunannya. “Hah? Apa?” soal Hafiz semula pada adiknya. “Layang-layang. Mana?” Alia mengajukan soalan yang sama sebelum matanya beralih pada wanita yang dihadapan abangnya kini.

“Maaf. Ini layang-layang awak ke?” soal wanita tersebut. “Ini layang-layang adik ke?” soalan wanita tersebut kini tertumpu pada Alia. Dia tersenyum manis pada Alia. “Bukan. Bukan kami punya.” Hafiz yang dari tadi terdiam, bersuara. Alia menggeleng kepala. Turut menidakkan soalan wanita tersebut. “Bukan kak. Layang-layang tu bukan kami punya. Tapi tadi kami kejar layang-layang tu dari sana.” Alia menunjukkan lokasi dimana ayah dan mak mereka berada. “Ohh...” wanita tersebut merapati Alia. “Akak nampak layang-layang ni jatuh tadi. Itu sebab akak kutip. Warnanya cantik.” sambung wanita tersebut.

“Emm... Jom kita main layang-layang ni sama-sama nak?” tawar wanita tersebut. Mahu berbaik-baik dengan Alia mungkin. “Eh... Takpelah cik.” baru saja Alia mahu membuka mulut terus dipotong oleh Hafiz. “Dia ni dah nak kena balik dah ni. Mak dia panggil.” sambung Hafiz cuba mengelak daripada berlama-lamaan di situ. Sudah tidak selesa barangkali. Kehadiran wanita di hadapannya itu, membuatkan dia terasa satu macam. Perasaan apakah ini? Soalnya pada diri sendiri.

“Oh... Kalau macam tu, adik ambillah layang-layang ni.” dihulur layang-layang tersebut kepada Alia. “Eh... Cik simpanlah layang-layang tu. Kami minta diri dulu.” Hafiz langsung tidak memberi peluang pada Alia untuk mengambil layang-layang tersebut. Bahkan untuk bercakap pun tidak diberi peluang. Mereka berdua berjalan menjauhi wanita tersebut. Meninggalkan wanita berbaju kurung biru itu sendirian, tertanya-tanya mengapa pelawaannya ditolak bulat-bulat oleh Hafiz. Sedangkan yang dipelawa bukannyya Hafiz, tapi Alia.

“Abang ni kenapa?” soal Alia pada abangnya. “Kenapa apanya?” soalan dibalas dengan soalan. Terdiam Alia. Malas mahu melayan abangnya. Baginya, Hafiz bersikap pelik sebentar tadi. Cukup pelik. Tidak pernah dia melihat abangnya terdiam dihadapan orang yang tidak dikenali. Selalunya abangnya bersikap mesra. Kalaupun dengan wanita, tetap juga berbudi bahasa dalam menjaga batas-batas syariat.
“Abang suka kat akak tadi tu ye?” tanya Alia meneka. “Eh... Ke situ pulak kamu ni... Jangan nak memandai.” Hafiz menafikan. Kemudian dia tersenyum sendiri. Suka? Tak mungkinlah.


You Might Also Like

2 comments:

  1. muiz.. ada tp bukan sekarang.. hehe.. awat? beest ka? kui3

    ReplyDelete

Komen anda adalah di hargai :D

Powered by Blogger.