Mengejar Layang-Layang
Matahari
megah menerangi alam. Angin yang bertiup mengurangkan bahang akibat tujahan
haba sang mentari. Pohon kelapa meliuk lentok bagaikan menari mengikut rentak
bayu. Indahnya suasana. Suara ombak yang menghempas pantai pasti menambahkan
mood sesiapa saja. Santai. Aman dan nyaman. Itulah yang dicari acap kali
berkunjung ke pantai. Tidak kurang juga suara gembira pengunjung-pengunjung
yang rata-ratanya mencari ketenangan. Ingin melarikan diri dari hiruk pikuk
kota raya.
Di
satu sudut pantai, kelihatan dua susuk berkejaran. Sekali pandang, terserlah
kegembiraan dari wajah kedua-duanya.
“Wah...
Penatnya...” keluh Alia.
“Itulah,
abang kat dah tak mahu main kejar-kejar. Kamu nak jugak.” kata Hafiz kepada
adiknya.
“Bukan
selalu pun kan... “ Alia tersengih. “Lagipun, dah lama kita tak datang pantai
ni.”sambungnya lagi. Hafiz masih tercungap-cungap. Mencari nafas.
“Aik...
Semput ke ?” tanya Alia mengejek abangnya. Hafiz merenung tajam adiknya.
Matanya dipincing. Mulutnya mencebik. “Mak... tengok abang tu. Dia buat muka.”
adu Alia pada Puan Nawal. Puan Nawal hanya mampu menggeleng kepala melihat
telatah anaknya. Hafiz dan Alia, kedua-duanya adalah penawar hatinya. Walaupun
nakal, tapi kemesraan sebeginilah yang mendatangkan bahagia dihatinya.
“Sudahlah tu, Hafiz.” Puan Nawal mengeluarkan bekal yang dibawa dari rumah.
“Jom, kita makan dulu. Cukup-cukuplah sakat adik kamu tu.”
“Dengar
tu abang.” Alia menjelirkan lidah pada abangnya. Terbeliak mata Hafiz melihat
tindakan adiknya itu. Dia tersenyum nakal. “Oh... Pandai dah sekarang. Main
jelir lidah ye.” Hafiz cuba menangkap tangan adiknya. Alia mengelak dan terus
bangun mencari Puan Nawal. Dia berlindung dibelakang Puan Nawal. Hafiz terus
bangun dan mengacah untuk menangkap adiknya.
“Sudahlah
tu Hafiz. Kamu tu bukannya kecil lagi. Dah 24 tahun dah. Malulah orang tengok.”
kata Puan Nawal kepada anak sulungnya itu. Hafiz menurut saja kata Puan
Nawal.Dia terus duduk di sisi ibunya. “Alia, kamu pun sama. Dah 16 tahun. Besar
panjang dah. Mari duduk, makan dulu. Lepas ni boleh mandi laut.” Alia senyum
pada Puan Nawal. “Terlupalah mak..” kata Alia. “Lupa apa?” Hafiz
tertanya-tanya. “Orang lupalah, orang ni dah besar... Ingatkan baby mak lagi.”
kata Alia sambil memeluk Puan Nawal dari belakang
.
“Laa...
Abang ingatkan apa tadi.” Hafiz menjulingkan matanya. “Ayah mana, mak?” Hafiz
memandang Puan Nawal. “Ayah kamu mana lagi, kecemasanlah. Dari dalam kereta
ditahan katanya.” jawab Puan Nawal. Hafiz angguk tanda faham. “Mak...” Alia
merengek manja. “Dah kenapa pulak ni? Merengek tiba-tiba ni.” Alia tersenyum
dengan soalan Puan Nawal. “Nak aiskrimlah tu...” celah Hafiz sengaja mengusik.
“Mana ada orang jual aiskrim kat sini.” “Bukanlah mak. Abang ni memandai je.
Orang tak habis cakap lagi...” Alia menafikan kata-kata abangnya. Hafiz
tersengih sambil tangannya mencapai botol air.
“Mak...
Adik nak kakak, boleh?” tersembur air yang baru saja diminum Hafiz. “Kenapa ni
abang?” kali ini Alia pula yang tersengih. “Ada semut dalam air ni...” Hafiz
cuba mengelakkan diri. Tergelak Puan Nawal. Dia faham maksud soalan Alia dan
dia yakin Hafiz juga faham. Pasti, Hafiz cuba mengelak dari membincangkan soal
ini. Ini bukan kali pertama topik ini dibangkitkan. Puan Nawal sebenarnya sudah
lama bersedia untuk bermenantu. Hatinya ingin benar melihat anak terunanya yang
seorang itu berumah tangga. Suaminya, Encik Kamarul juga begitu. Dia merasakan
sudah tiba masanya Hafiz malangkah ke fasa seterusnya dalam hidup ini. Segera
melengkapkan separuh dari agamanya.
Sebelum ini Puan Nawal pernah menyatakan
hasrat untuk menyatukan Hafiz dengan anak salah seorang rakannya. Anak kepada
Puan Hajar. Diana namanya. Seorang
graduan universiti. Baik orangnya, sopan santun dan menghormati orang tua. Puan
Nawal cukup terpikat dengan Diana ketika berkunjung ke rumah Puan Hajar. Manis
orangnya. Pada hematnya, Diana cukup padan dengan Hafiz. Tidak terlampau
tinggi, tidak terlalu rendah, putih kulitnya, berlesung pipit menambah manis di
wajah anggun anak dara itu. Bertudung rapi dan tidak terlalu mengikut trend
tudung moden kini. Sesuai benar dengan Hafiz yang tinggi lampai,
berbadan tegap, kulit sawo matang. Walaupun anaknya itu gemar menyimpan
jambang, tapi sentiasa dijaga rapi. Walaubagaimanapun, mentah-mentah hasratnya
ditolak Hafiz.
“Belum
masanya mak...” kata Hafiz sedikit memberontak. “Mak bukannya nak memaksa kamu
Hafiz. Mak cuma beritahu apa yang mak rasa terbaik buat masa ni untuk kamu.”
Puan Nawal memujuk anak sulungnya itu. Hafiz yang duduk di sofa bertentangan
dengannya hanya mendiamkan diri. Memandang lantai rumah. “Diana tu, baik
budaknya. Mak berkenan. Itu saja. Tapi keputusan tetap di tangan kamu. Mak tak
paksa.” tambah Puan Nawal.
Hafiz
menghela nafas dalam-dalam. Seakan mencari kekuatan dalaman. “Macam ni lah mak.”
Hafiz bersuara, menarik perhatian Puan Nawal. “Mak berikan Hafiz masa. Hafiz
istikarah. Insyaallah, nanti Hafiz berikan jawapan. Boleh?” berbunga hati Puan
Nawal mendengar ungkapan itu. Padanya, jika Hafiz mempertimbangkan hasratnya,
itu pun sudah cukup daripada langsung tidak ambil peduli. Lebih baik ada
daripada langsung tiada. “Boleh... Nanti Hafiz beritahu mak.” senyum Puan Nawal
pada anak terunanya itu. “Saya naik bilik dulu mak. Nak zohor dah ni.” Hafiz
bangun dari duduknya. Dia mendapatkan Puan Nawal. Mencapai dan mencium tangan
Puan Nawal sebelum Puan Nawal meraih kepala Hafiz dan mencium dahi anaknya itu.
Tanda kasih sayang.
Namun,
selepas itu tiada sebarang berita. Hafiz terus mendiamkan diri. Langsung tidak
dinyatakan persetujuaan ataupun bantahan. Soal tersebut terus berlalu tanpa ada
maklum balas daripada Hafiz. Tahulah dia bahawa anaknya itu masih belum
bersedia.
“Kalau
nak kakak, pergi tanya kat abang kamu tu.” kata Puan Nawal pada Alia. Tersentak
Hafiz mendengar ungkapan itu. Bagaikan nak tercabut jantungnya. Otaknya ligat
mencari jalan untuk mengelakkan diri. Degup jantungnya semakin laju. Puan Nawal
dan Alia tergelak melihat Hafiz. Kalau tadi bukan main lagi menyakat adiknya.
Sekarang diam seribu bahasa. “Abang...” Alia merapati abangnya. Mata Hafiz
melihat sekeliling. Cuba mencari idea. Peluh mula membasahi dahinya. Cemas
seketika dalam situasi tersebut. “Abang... Mak kata, kalau adik nak kakak kena
tanya abang. “ Alia menyambung.
Hafiz
semakin tidak keruan. Merah padam mukanya. Dia tidak selesa membincangkan soal
ini. Dia bukannya jenis yang suka bercakap soal jodoh. Apalagi soal kahwin.
Bagi Hafiz, masanya belum tiba. Sudahlah bersembang dengan perempuan pun
jarang-jarang. Kalau ada pun atas urusan kerja. Bila di ajak bersembang soal
perempuan, bertambah-tambahlah tidak selesa dirinya.
Alia
hairan melihat abangnya yang masih mendiamkan diri. Memandang sekeliling
bagaikan mencari sesuatu. Namun tidak pasti apa yang cuba dicari. “Abang?
Dengar tak orang cakap ni?” Alia menggoncang bahu abangnya.
“Tengok
tu! Alia tengok tu!” kata Hafiz mengejut. “Opocot!” tidak semena-mena Alia
melatah. Reaksi spontan akibat perbuatan Hafiz yang tiba-tiba memecah sunyinya.
“Hish! Abang ni kan. Suka sakat orang tau.” Alia memukul tubuh abangnya. Hafiz
cuba mempertahankan diri dengan tangan kirinya. Tangan kanannya diangkat
tinggi. Jari telunjuknya diarahkan pada sesuatu di langit. “Alia... Tengok
tu... Layang-layanglah...” Alia berhenti memukul abangnya. Matanya melihat
kearah yang ditunjukkan abangnya. “Abang! Layang-layang. Mak!
Layang-layanglah.” Teruja Alia melihat layang-layang tersebut. Puan Nawal yang
sedari tadi sibuk membelek majalah Hawa mengangkat muka. Memandang kearah
layang-layang tersebut. Kemudian dia senyum pada Alia.
“Alia,
layang-layang tu dah putuslah talinya. Jom kejar. Siapa dapat dulu, menang.
Yang kalah kena belanja aiskrim.” Hafiz mencabar adiknya. Dia sedikit lega
kerana dapat melarikan diri dari soalan yang diajukan adiknya tadi. Walaupun kali
ini dia terpaksa berlari sekali lagi di sepanjang pantai. Alia terpikat dengan
tawaran abangnya itu. “Jom! Satu... Dua...” belum sempat habis kiraan Alia, Hafiz memecut terlebih
dahulu. Alia terpinga ditinggalkan Hafiz. “Abang! Tunggulah!” Alia bangun dan
berlari mengejar abangnya. Puan Nawal hanya mampu meleretkan senyuman dan
menggeleng kepala melihat keakraban kedua-dua anaknya itu. Kadang-kadang dia
sendiri risau dengan mesranya Hafiz dan Alia. Takut terlebih mesra sampai
bergurau cara ganas pula.
“Kemana
pulak dua orang anak awak tu?” soal Encik Kamarul entah dari mana. Terkejut
Puan Nawal sehingga terlepas majalah ditangannya. “Hish... Abang ni. Terkejut
saya tau.” Puan Nawal mengusap-usap dadanya. Dipandang suaminya itu tajam.
Menarik muka sedikit kerana digelakkan oleh suaminya. “Kenapa terkejut?” soal Encik Kamarul pendek.
Puan Nawal mengangkat semula majalah yang terlepas tadi. Dibetulkan duduknya
semula. “Yelah... Datang entah dari mana, tiba-tiba sergah saya. Saya ni dah
tua tau. Jantung ni, tak kuat macam dulu. Kalau kena penyakit lemah jantung
macam mana? Abang nak tanggung? Sanggup ke abang tengok saya sakit?” jawab Puan
Nawal panjang meleret. Membebel sedikit. Mungkin kerana kecil hati dengan
tindakan suaminya itu. Encik Kamarul mendiamkan diri. Ditatap wajah isterinya
dalam-dalam. “Abang dengar tak saya cakap ni?” Puan Nawal mengalihkan mukanya
daripada majalah ke arah suaminya. “Kenapa abang pandang saya macam tu?” soal
Puan Nawal. Pelik kerana suaminya memandang dirinya sebegitu. “Saya nak tengok
muka awak puas-puas.” Jawab Encik Kamarul. “Hah? Kenapa?” sambung Puan Nawal
lagi. “Nanti masa awak sakit, saya nak bandingkan muka awak.” kata Encik Kamarul sinis. Mengusik isterinya.
Kemudian dia tergelak sendiri. Puas dapat mengusik isterinya yang tercinta.
Teman yang paling setia disisi. Bersama dikala susah dan senang. Yang
bersamanya menghadapi dugaan hidup selama ini. Puan Nawal menarik muka. Tidak
lama selepas itu dia tersenyum pada suaminya itu. Fahamlah dia bahawa suaminya
itu hanya bergurau.
Layang-layang
berwarna biru itu kelihatan cantik sekali. Ditambah dengan sinaran cahaya
mentari, sepertinya layang-layang itu berkilau megah. Terbang tinggi di awanan
tanpa kemudi. Bebas. Mungkin itulah yang dirasai Hafiz dikala ini. Bebas dari persoalan
yang diajukan adiknya sebentar tadi. Kalau tadi dia merasa rimas, sekarang
fikirannya terasa tenang dan bebas.
“Abang!
Cepat abang! Nanti layang-layang tu jatuh.” Alia menjerit dari belakang. Hafiz
mendahului adiknya dalam usaha mengejar layang-layang tersebut. Dia berhenti
sekejap dan menoleh ke belakang. “Cepatlah! Jom, cepat Alia!” Hafiz memberikan
adiknya galakan. Kasihan pula dia melihat adiknya jauh ketinggalan di belakang.
Apabila adiknya semakin hampir, dia menyambung lariannya. Mengejar layang-layang.
Akhirnya
jatuh juga layang-layang biru itu. Bersemadi diatas pasir pantai yang memutih.
Tersenyum Hafiz melihatnya. Lega kerana layang-layang biru itu tidak tersangkut
di pohon pokok. Ataupun lebih teruk, terdampar jauh ditengah laut. Hafiz memperlahankan
lariannya. Jarak antara dia dan layang-layang tersebut hanyalah sekitar 30
meter sahaja sekarang. Dia berjalan menghampiri layang-layang tersebut. Sedang
dia semakin hampir dengan layang-layang tersebut, muncul seorang wanita
mengutip layang-layang tersebut. Hafiz terkaku seketika. Di hadapannya kini
seorang wanita berbaju kurung biru laut. Lengkap bertudung, manis dipandang.
Jarang sekali orang ke pantai berbaju kurung. Dan jarang sekali dia terpana
melihat susuk seorang wanita. Ada sesuatu tentang wanita tersebut menarik
perhatiannya. Namun dia tidak pasti. Yang pasti, wanita tersebut sedang
memegang layang-layang biru yang dikejarnya sedari tadi.
“Abang,
mana layang-layang tu?” pertanyaan Alia
menghentikan lamunannya. “Hah? Apa?” soal Hafiz semula pada adiknya.
“Layang-layang. Mana?” Alia mengajukan soalan yang sama sebelum matanya beralih
pada wanita yang dihadapan abangnya kini.
“Maaf.
Ini layang-layang awak ke?” soal wanita tersebut. “Ini layang-layang adik ke?”
soalan wanita tersebut kini tertumpu pada Alia. Dia tersenyum manis pada Alia.
“Bukan. Bukan kami punya.” Hafiz yang dari tadi terdiam, bersuara. Alia
menggeleng kepala. Turut menidakkan soalan wanita tersebut. “Bukan kak.
Layang-layang tu bukan kami punya. Tapi tadi kami kejar layang-layang tu dari
sana.” Alia menunjukkan lokasi dimana ayah dan mak mereka berada. “Ohh...”
wanita tersebut merapati Alia. “Akak nampak layang-layang ni jatuh tadi. Itu
sebab akak kutip. Warnanya cantik.” sambung wanita tersebut.
“Emm...
Jom kita main layang-layang ni sama-sama nak?” tawar wanita tersebut. Mahu
berbaik-baik dengan Alia mungkin. “Eh... Takpelah cik.” baru saja Alia mahu
membuka mulut terus dipotong oleh Hafiz. “Dia ni dah nak kena balik dah ni. Mak
dia panggil.” sambung Hafiz cuba mengelak daripada berlama-lamaan di situ.
Sudah tidak selesa barangkali. Kehadiran wanita di hadapannya itu, membuatkan
dia terasa satu macam. Perasaan apakah ini? Soalnya pada diri sendiri.
“Oh...
Kalau macam tu, adik ambillah layang-layang ni.” dihulur layang-layang tersebut
kepada Alia. “Eh... Cik simpanlah layang-layang tu. Kami minta diri dulu.”
Hafiz langsung tidak memberi peluang pada Alia untuk mengambil layang-layang
tersebut. Bahkan untuk bercakap pun tidak diberi peluang. Mereka berdua
berjalan menjauhi wanita tersebut. Meninggalkan wanita berbaju kurung biru itu
sendirian, tertanya-tanya mengapa pelawaannya ditolak bulat-bulat oleh Hafiz.
Sedangkan yang dipelawa bukannyya Hafiz, tapi Alia.
“Abang
ni kenapa?” soal Alia pada abangnya. “Kenapa apanya?” soalan dibalas dengan
soalan. Terdiam Alia. Malas mahu melayan abangnya. Baginya, Hafiz bersikap
pelik sebentar tadi. Cukup pelik. Tidak pernah dia melihat abangnya terdiam
dihadapan orang yang tidak dikenali. Selalunya abangnya bersikap mesra.
Kalaupun dengan wanita, tetap juga berbudi bahasa dalam menjaga batas-batas
syariat.
“Abang
suka kat akak tadi tu ye?” tanya Alia meneka. “Eh... Ke situ pulak kamu ni...
Jangan nak memandai.” Hafiz menafikan. Kemudian dia tersenyum sendiri. Suka?
Tak mungkinlah.
Tags:
Mengejar Layang-Layang
2 comments
xde sambungan ke broooooo??!
ReplyDeletemuiz.. ada tp bukan sekarang.. hehe.. awat? beest ka? kui3
ReplyDeleteKomen anda adalah di hargai :D