Bangun Subuh - Ustaz Jerkahkan

12:36 PM Hasnul Adin 0 Comments

Masa sekolah asrama dulu, ada masa  ustaz-ustaz akan tolong kejut solat subuh. Biasanya ustaz menjerit je dari bawah. Kalau malas pun bunyikan siren je. Tapi aku rasa suara ustaz kalau menjerit, kalah bunyi siren

Kadang-kadang, kerajinan ustaz-ustaz ni lain macam. Kadang-kadang ustaz akan naik asrama, lalu dari bilik ke bilik untuk kejut solat subuh. Dia berhenti di setiap bilik kemudian dijerkahnya budak-budak. Yang mana bilik dekat dengan tangga tu memang akan jadi mangsa yang terawal. Itu biasa.


Ada sesetengah ustaz pula, dia akan ronda bawa senjata. Senjatanya pula ada macam-macam. Ada masanya dia bawa batang paip. Bunyi libasannya boleh bikin trauma. Kalau tidak pun dibawanya rotan. Yang ini boleh tahan lagi. Yang paling ngeri dia bawa tongkat sakti. Tongkat sakti ni sekali dia libas betis, berbirat boleh tunjuk kat anak cucu sampai 7 keturunan. Ikut rezekilah. 

Namun begitu, pada hemat aku senjata paling ampuh adalah suara ustaz-ustaz ni. Dari jauh kau boleh dengar suara dia. Maka menggelupurlah kau bangkit dari katil dan bergegas ke bilik air. Bagi aku suara Ustaz Sidek yang paling ngeri. Suara nyaring bukan main. Seram. Tapi suara Ustaz Zaky pun boleh tahan. Warden terbaik Perak Tengah tu. Kehkeh.

Tapi kasihan buat rakan-rakan yang jenis tidur mati ni. Ustaz jerit bukan dia dengar. Sudah tu kawan sebelah bukan nak tolong kejut. Mana tidaknya, kawan tu bila dengar suara ustaz terus lari tak ingat apa dah. Yang jenis tidur mati ni bezanya dia dengan yang tak tidur mati adalah orang lain bangun tidur menahan kantuk. Tapi dia bangun tidur menahan sakit kena sebat dengan ustaz punya senjata. Apalah nasib.

Aku pasti budak-budak ASPURA masing-masing ada cerita sendiri. Masing-masing boleh 'relate' dengan apa yang aku kongsikan ni. Sebab kalau duduk asrama tak cari pasal dengan warden, macam tak sah pula. Itu belum masuk cerita jenis sorok dalam loker sebab tak nak turun solat subuh berjemaah. Macam-macam jenis nakal. 




[Sumber]


Berdasarkan sumber, masa ni pelajar ASPURA kena denda sebab lambar turun solat subuh. Tahun bila punya cerita, mohon jangan ditanya.

Jangan tanya kenapa tiba-tiba aku teringat cerita zaman sekolah ni. Sebab aku pun masih mencari jawapannya. Kalau aku jumpa, mungkin aku akan kongsikan. Tengoklah nanti.



You Might Also Like

0 comments:

Komen anda adalah di hargai :D

Powered by Blogger.