Baru beberapa hari lalu menonton cerita Forzen. Banyak point menarik yang boleh di ambil dari cerita ni seperti mana cerita-cerita terbitan Disney yang lain. Tapi antara perkara yang begitu menarik bagi aku, ada di awal cerita ketika mana Raja dan Permaisuri menutup segala hubungan istana dengan orang luar kerana niat mahu menjaga keselamatan puteri mereka, Elsa.
Hasilnya adakah Elsa merasa lebih selamat? Adakah keyakinan diri dia bertambah? Adakah sesuatu yang lebih baik berlaku apabila Elsa mula mengasingkan diri?
Tidak. Elsa mula hidup dalam ketakutan. Dia jarakkan diri dia dengan adik dia, Anna. Nak sentuh parents dia pun dia risau. Sedangkan sebelum peristiwa yang menyebabkan Raja menutup istana Elsa dan Anna seronok bermain bersama. Kelebihan yang ada pada Elsa digunakan untuk bermain bersama Anna dan sama sekali tidak mendatangkan bahaya ketika itu.
Apa yang nak diketengahkan disini adalah, jangan biarkan anak kecil yang punya kelebihan dan potensi hidup dalam ketakutan bahawa kelebihan mereka akan merosakkan.
Anak anda suka membaca? Raikan minatnya, belikan buku. Tanya mereka apa yang mereka baca, biarkan mereka bercerita kepada kita. Bangkitkan semangat itu. Hargai minat dan kelebihannya.
Anak anda hebat bermain bola? Galakkan dia, beri semangat. Bawa ke stadium jika mampu. Bawa dia ke padang sekolah untuk latihan bola. Itu tanda penghargaan ibu bapa terhadap anak-anak.
Ada yang suka memasak dan selalu ke dapur untuk bantu ibu. Kadang-kadang mereka sendiri ke dapur dan pandai-pandai memasak. Apa tindakan kita? Nak marah sebab ke dapur tanpa kebenaran? Marah sebab takut dia cedera ketika di dapur? Dengan marah apakah hasilnya? Mungkin dia akan terus jauhkan diri dari dapur dan mula berhenti membantu ibu di dapur. Bila da dewasa, ketika ibu panggil ke dapur kerana perlukan bantuan, mereka akan mula acuh tak acuh. Macam tak rela hati nak bantu. Sebab apa? Sebab semangat mereka semasa kecil telah direntap ibu bapa mereka sendiri.
Benda macam ni mungkin tak dapat dikenalpasti dengan sekali lihat apa lagi jika perhatian tidak diberikan pada anak-anak pada waktu dan ketikanya.
Siapalah diri ini nak menilai dan memberi nasihat tetapi ini cumalah perkongsian hasil daripada pembacaan, pemerhatian, pemikiran dan pengalaman diri sendiri yang mungkin boleh mendatangkan manfaat kepada orang lain dan diri sendiri semestinya(di masa hadapan).
Diri ini secara peribadinya merasakan persediaan dari segi ilmu sangatlah penting. Yang paling penting mungkin adalah ilmu tentang cara untuk memahami manusia(Tak tahu apakah istilahnya, jika ada.)
Cuba fahami apa kehendak dan keperluan emosi manusia di sekeliling kita. Sebagai anak, perlu tahu kenapa ibu bapa bertindak memarahi kita atau menghalang kita daripada keluar malam. Sebagai ibu bapa, perlu memahami keperluan emosi anak-anak mengikut garis umur mereka. Ketika zaman kanak-kanak apa kehendaknya, zaman remaja dan zaman dewasa pula bagaimana.
Belajar ilmi psikologi sedikit, tiada salahnya. Cuba untuk fahami mereka di sekeliling kita sebelum kita bertindak.
Kelebihan, kebolehan dan keistimewaan yang ada pada diri anak-anak tidak sepatutnya dimatikan. Mudah sahaja persamaannya.
Banyak lagi nilai-nilai kekeluargaan yang boleh diambil dari cerita Frozen ni . Tapi buat masa ni, ini sahaja yang mampu dikongsikan.