Zaman Kena Denda Sebab Masbuk Subuh
Larilah sejauh mana pun dan selama mana pun masa berlalu, zaman sekolah menengah tetap akan dikenang. Tak kisahlah samada zaman sekolah yang macam mana pun dilalui, memori tetap memori. Kenangan tetap kenangan. Ia tetap akan kita ingat sampai bila-bila.
Duduk di asrama dan ulang alik dari rumah, tentu ada beza yang besar pada kenangan-kenangan zaman sekolah. Sudah tentu apa yang dirasai oleh pelajar yang duduk di asrama, tak akan dilalui oleh pelajar yang ulang alik dari rumah.
Sebagai contoh, pelajar yang ulang alik dari rumah tak mungkin akan merasai pengalaman pelajar asrama yang terpaksa bangun awal pagi untuk berebut bilik air untuk mandi pagi. Kalau setakat berebut dengan kawan-kawan tak mengapa, kadang kala kena berebut dan beralah dengan senior-senior lagi. Beratur nak masuk tandas tapi kena potong dengan senior. Lumrah duduk asrama begitulah, kan?
Mungkin ada satu perkara yang tak semua asrama lalui. Iaitu kena denda sebab masbuk solat subuh. Mungkinlah. Sebab aku sekolah asrama SMKA memang diwajibkan solat berjemaah lima waktu. Sekolah asrama lain, aku tak pasti.
Zaman aku dulu, bukan setiap hari pelajar yang masbuk solat subuh akan didenda. Tidak. Ada masanya, tiada ustaz pun yang turut serta sekali subuh berjemaah dengan pelajar. Ada masanya yang turut serta solat jemaah dengan pelajar adalah warden yang bukan ustaz. Jadi warden tak ambil peduli sangat bila pelajar masbuk.
Tapi ada seorang ustaz ni, memang semua pelajar pun tahu dia punya pantang kalau ada pelajar yang masbuk solat subuh berjemaah. Sampaikan kadang-kadang yang tak masbuk pun boleh terkena denda sekali. Sebab apa? Sebab pelajar tu duduk dekat dengan pelajar lain yang masbuk. Dan benda ni, aku sendiri pernah kena. Aku tak masbuk pun. Tapi sebab aku solat dekat dengan peajar lain yang masbuk, sekali dengan aku kena denda dengan ustaz. Pasrah.
Masjid aku sekolah dulu, ada bahagian dewan solat utama yang berkarpet dan bahagian luar yang dibahagikan dengan dinding pemisah (yang ni sebelum kerja naik taraf masjid dijalankan).
Jadi ada sekali tu, aku saja nak duduk kat bahagian luar tu, solat subuh di bahagian luar tu. Aku turun awal dan tak masbuk pun. Tapi di saf belakang aku, ada beberapa pelajar lain yang masbuk. Masa tengah wirid, tiba-tiba kami semua yang solat di bahagian luar tu kena panggil dengan ustaz. Aku masa tu tak tahu sebab apa kena panggil, ikut je la. Ingatkan ustaz ada nak minta tolong ke apa ke. Sekali disuruhnya kami berbaris panjang di tepi masjid, mengadap ke dalam masjid. Punyalah malu masa tu, semua orang pandang kami berbaris macam tu.
Lepas tu ustaz tanya, kenapa masbuk. Seorang-seorang di soal siasat. Bila beritahu tak masbuk, dikatanya kita menipu.
"Kalau tak masbuk, kenapa solat di luar?"
Ah. Sudah solat kat luar pun kena denda?
Tapi seingat aku, pagi tu kami semua sekadar kena soal siasat sahaja. Tak ada yang kena denda ketuk ketampi atau pumping terbalik. Kalau kena denda macam tu, memang senaman pagi yang terbaik.
Masa tu, nasib baik aku dah mandi sebelum subuh. Kau bayangkan pelajar lain yang belum mandi tu. Muka bukan main sememeh lagi. Yang lagi menariknya, ustaz lepaskan kami daripada berbaris tu elok lagi 5 minit nak pukul 7 pagi. Yang belum mandi, memang berdesuplah lari balik bilik nak bersiap untuk ke kelas. Sudahlah jam 7.15 pagi kena siap beratur untuk perhimpunan pagi. Bayangkan betapa harunya keadaan masa tu. Aku yang dah siap mandi pun serabut nak bersiap sebab dah lambat, cuba bayangkan yang masih berkain pelikat tu. Mesti gosok gigi pun tak sempat. Heh! Bukan gosok gigi saja tak sempat, sarapan pun pakat tak makanlah pagi tu. Maka berlaparlah ke kelas bersama seribu penyesalah.
Itulah antara pengalaman di asrama yang tak akan dapat dah di tempat dan masa-masa yang lain.
Kenangan-kenangan yang macam ni, kena simpan elok-elok dalam ingatan. Mana tahu, nanti anak aku masuk asrama dan benda yang sama jadi pada dia. Masa tu bolehlah gelak sama-sama. Kemudian mak dia geleng kepala sebab ayah dengan anak sama je.
Kuah tumpah ke nasi, kan?
Eh. Macam awal lagi nak cakap pasal kuah dan nasi ni. Kbye.
Terima kasih sudi membaca. 🚣
Tags:
About Me
0 comments
Komen anda adalah di hargai :D